Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pelancaran sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Pelancaran sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku Tetamu Kehormat Majlis memberikan ucapan dan seterusnya melancarkan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025. 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 November. – Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 peringkat kebangsaan bertempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.​

Dengan tema “Collaborating for Sustainable Growth", pengisian sambutan pada tahun ini memberikan fokus kepada kepentingan usahasama dalam menjana pertumbuhan mampan dan berdayatahan, dimana peranan perancangan guna tanah dan pengurusan kemajuan fizikal yang menyeluruh adalah selaku platform penghubung bagi usahasama tersebut.

Sempena sambutan tahun ini, sebanyak lapan buah buku Garis Panduan dan Piawaian Perancangan serta satu sistem dalam talian bagi mengemukakan Aduan Perancangan Orang Ramai telah dilancarkan pada majlis tersebut. Buku-buku garispanduan berkenaan diharapkan akan menjadi panduan dan rujukan pihak-pihak berkepentingan khususnya para profesional dan pemaju yang terlibat dalam industri pembinaan.

Beberapa aktiviti juga telahpun tersusun sedia yang akan berlangsung selama lima hari mulai 10 November sehingga 15 November 2025 bertempat di Dewan Betabur dan ruang legar Tingkat 1, Kementerian Pembangunan. Antaranya, siri taklimat dan dialog mengenai Pelan Strategik Jabatan Perancang, Bandar dan Desa 2025-2030, Garis Panduan dan Piawaian Perancangan, Urban Connectivity Profiling Findings dan Pelan Perancangan Guna Tanah khusus untuk para profesional dalam industri pembinaan; sudut pameran yang menunjukkan beberapa perancangan Jabatan serta sudut pertanyaan “Ask Us Corner" bagi profesional, penuntut-penuntut dan orang ramai.

2_Pelancaran sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025.JPG

TETAMU Kehormat Majlis melawat pameran sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025.

Di samping itu, pada sambutan kali ini juga, satu Klinik Kemajuan akan dibukakan kepada orang ramai pada 13 dan 15 November 2025. Klinik ini berfungsi sebagai platform bagi orang ramai untuk mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan proses permohonan yang melibatkan aspek kemajuan.

Turut hadir di Majlis Pelancaran tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan serta pihak-pihak berkepentingan dari agensi yang berkenaan.

Bagi menyemarakkan sambutan pada tahun ini, penyalaan lampu pelbagai warna di Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien bermula pada malam 8 November sehingga 16 November 2025 sebagai simbolik meraikan acara tersebut dan melambangkan kepentingan pembangunan secara bersepadu. Warna-warna lampu hijau, merah, kuning, biru dan ungu dipilih berdasarkan kod warna bagi zon perancangan.

Attachments